20 Jun 2015


Assalam dan Salam Sejahtera,
Salam Ramadan al-Mubarak.
Episod Ramadan (1)
Bermula sahaja umat Islam berpuasa pada 1 Ramadan 1436 H (18 Jun 2015/ Khamis), suasana di pekan atau di bandar kelihatan sibuk. Jalan raya sesak dengan kenderaan terutamanya waktu petang sebelum berbuka puasa. Bermulanya Ramadan, maka bermulalah para peniaga berniaga pelbagai juadah; kuih muih, ikan, ayam, dan daging bakar, minuman dan barangan persiapan menyambut Aidilfitri.
Apabila kita ke bazar Ramadan, ada ketikanya nafsu kita tidak terkawal. Banyak yang mahu kita beli – kononnya mahu makan sepuas-puasnya sebab sehari suntuk menahan lapar dan dahaga. Banyak juga wang dihabiskan untuk membeli pelbagai juadah berbuka; lauk pauk dan kuih muih.
Apabila tiba waktu berbuka puasa, amalan biasa memakan sebiji kurma dan minum segelas air sama ada sejuk atau panas. Nafsu yang lapar dan dahaga itu telah diredakan oleh sebiji kurma dan segelas air. Kuih muih dan pelbagai lauk pauk yang dibeli tadi, hanya dijamah sedikit sahaja kerana sudah rasa kenyang. Lalu yang tidak habis dan tidak dimakan itu, kalau hendak disimpan untuk makan sahur, sudah tidak enak lagi. Nafsu pula menyuruh, “Buangkan sahaja semua itu meskipun perbuatan itu dinamakan membazir!”
Mesej: “Nafsu berada paling dekat di dalam diri kita tetapi ada ketikanya kita kalah dengan nafsu itu.”

   

16 Jun 2015



Assalam semua,
Alhamdulillah, Allah SWT panjatkan umur kita sehingga kita bertemu lagi dengan Ramadan 1436 Hijrah. Bermula 18 Jun 2015 (Khamis), umat Islam mula berpuasa. Insya-Allah, ibadah puasa kita diterima Allah SWT sepenunya. Pahala yang kita terima pula berganda-ganda. Sepanjang berpuasa, kita tambahkan dengan amalan yang dapat memaksimumkan pahala untuk kita ke syurga-Nya.
Ada orang gembira menyambut kedatangan Ramadan kerana inilah bulan yang banyak keberkatan yang Allah SWT berikan kepada para hamba-Nya. Ada orang yang tidak suka menyambut dan berada sepanjang bulan Ramadan kerana banyak halangan yang terpaksa dia/ mereka hadapi – tidak boleh makan dan minum secara bebas atau di tempat terbuka. Mereka pula terasa lapar dan dahaga. Mereka fikir berpuasa sepanjang Ramadan menimbulkan masalah besar.
Apa-apa pun sebagai umat Islam yang taat kepada perintah-Nya, kita wajib berpuasa. Banyak hikmah di sebalik berpuasa sepanjang Ramadan. Hanya Allah SWT Yang Maha Mengetahui akan hikmah perintah-Nya supaya menunaikan puasa pada bulan Ramadan.
Selamat berpuasa.


2 Jun 2015


Antara putih dan hitam, ada ketikanya kita keliru. Indera mata, menjadi kabur.
Siapakah yang benar - si putih atau si hitam yang mengata-ngatai?

Salam puisi.

MENGATA-NGATAI


Putih mengata-ngatai putih. Kononnya diri putih. Putih  pula mengata-ngatai hitam. Hitam mengata-ngatai putih pula hitam. Hitam mengata-ngatai putih. Hitam mengata-ngatai hitam. Hitam sama-sama hitam mengata-ngatai. Mahu diri putih. Sebenarnya hitam tetap hitam. Siapa lebih hitam? Siapa lebih legam? Siapa menjadi arang? Putih berada di gelanggang hitam. Putih diam. Hitam parti pilihan putih. Konon hitam itu putih di dalam. Membuang putih dirinya. Semua menjadi hitam. Awan di langit pun menjadi hitam. Hujan yang turun tidak dapat membersihkan hitam. Air hujan pun hitam. Hitam mengata-ngatai hitam. Hitam mengata-ngatai putih. “Mana ada putih. Putih sudah hitam. Semua hitam. Berhentilah mengata-ngatai!”
 

Azmi Rahman
Sintok
Jun 2015

18 Mei 2015




Salam semua,
Beginilah luahan hati sebuah kasih yang tidak menjadi. Apa-apa pun redalah kerana yang terjadi adalah ketentuan Allah SWT. Barangkali setiap apa yang terjadi tersurat dan tersirat hikmah bermakna.

TERSEKSA AKU MELUPAKANMU
Sekian lama kita bercinta
bicara manis yang kau ukirkan di taman hatiku
aku terima penuh gembira
aku sematkan di kamar percayaku.

Sukarnya aku melupakanmu
betapa kuat ikatan janjimu
mahu hidup bersamaku
namun semuanya hanyalah sandiwaramu
mudahnya kau tinggalkan aku
kau musnahkan janjimu
kau hancurkan hidupku.
terseksa jiwaku melupakan tindakanmu itu.

Korus:

Oh, Tuhanku
apa jua yang terjadi
aku reda tempuhi hidup ini
tanpa kau di sisiku
aku tabah melalui perjalanan hidup terseksa ini.

Lirik: Azmi Rahman
Lagu:
Penyanyi:



13 Mei 2015


SETIAP KALI KAU TIBA, 16 MEI


Setiap kali kau tiba, 16 Mei
Adalah detik disuratkan budi
Subur  di laman didik
Berakar di tanah ajar
Adalah detik jasa dikenang abadi
Seluas langit nilai mulia hati yang suci
Berguru daripada  guru
Ilmu membenih di tanah usia.


Setiap kali kau tiba, 16 Mei
Adalah detik disuratkan ilmu
Sabar guru membijaksanakan suara
Tenang menukangi rumah matang anak murid
Tekun menganyam pengalaman
Terbentanglah  kemenangan berzaman
Generasi pewaris nusa-bangsa.


Setiap kali kau tiba, 16 Mei
Kalian adalah guru pernah menjadi anak murid
Kalian anak murid pula menjadi guru
Bergurulah kita di mana-mana ruang marcapada.


Setiap kali kau tiba, 16 Mei
Hadiah bermakna daripada anak murid
Kertas mulia hati membaluti bungkusan hadiah “terima kasih cikgu”
Kepingan kad  “bakti cikgu abadi dalam ingatan”
Tersusun kemas aksara sanjungan di dalam sampul minda.


Setiap kali kau tiba, 16 Mei
Adalah Hari Guru
Adalah makna berguru daripada guru
Mengenali huruf-huruf ilmu
Mengira angka-angka bijaksana.
Menulis bahasa berjiwa.



Azmi Rahman
Sintok


 

 

12 Mei 2015


RIBUT


RIBUT sudah muncul di segenap ruang resah marhaen. Ribut suara berapi di lidah melanda puncak kuasa. Ribut amarah bicara hati yang sekian lama terpendam melanda pula padang berdebu. Ribut sudah melanda di mana-mana. Tidak terhenti ribut. Ribut berpusing-pusing menjadi puting beliung  ---  menggulungkan para perakus kuasa dan meranapkan konkrit hipokrit!

Azmi Rahman
Sintok
Mei 2015

11 Mei 2015


Salam buat semua,

Sayangilah ibu kita semasa dia masih hidup. Buatlah yang terbaik untuk ibu kita. Jika ibu kita telah kembali ke rahmatullah, doakan kebaikan, rohnya berada dalam kalangan roh hamba-Nya yang beriman. Amin.

PANTUN BUAT IBU
(Setiap detik adalah Hari Ibu)
Burung tempua membuat sarang,
Membuat sarang di dahan jati;
Ibu kita hanyalah seorang,
Hilang dia tiadalah pengganti.

Waktu senja nampak redup,
Nampak cerah di sebelah barat;
Kasihlah ibu semasa hidup,
Bermakna hidup dunia akhirat.

Tanam serai di tepi telaga,
Ditanam juga sederet tebu;
Kasihnya ibu membawa ke syurga,
Kasihnya anak membahagiakan ibu.

Sudah masak buah duku,
Pokok duku milik nyonya;
Betapa besar jasa ibuku,
Akan kucurahkan bakti buatnya.

Enak sungguh makan capati,
Minum pula sirap selasih;
Jasa ibu sungguh bererti,
Mendidik anak membelai kasih.
 Manis sungguh air tebu,
Manis juga rasa halwa;
Besar sungguh pengorbanan ibu,
Demi anak berkorban nyawa.

Azmi Rahman
Mei 2015